Sunday, March 11, 2012

"KEPIMPINAN"

Apabila kita menyentuh soal pemerintah,semua orang membayangkan kekuasaan,keistimewaan,kekayaan,kesenangan.
Hampir semua orang di dunia ini mendambakan jawatan ini.
Hampir semua orang juga telah berjaya memperolehnya.
Namun hanya sedikit yang bertanggungjawab keatasnya.
Hanya sedikit yang sedar akan erti jawatan ini.

Pada hakikatnya,menjadi seorang pemimpin bukanlah satu perkara yang mudah.
Pabila kita memegang tampuk pemerintahan,segala bebanan,tanggungjawab berada diatas bahu.
Bukan semua insan didunia ini layak untuk menjadi pemimpin yang baik.
Realitinya,ramai para pemimpin kini yang gagal menjayakan kepimpinan mereka.
Mereka gagal untuk memimpin anak buah di bawah dengan adil,baik dan penuh dengan tanggungjawab.

Benar,bukan semua manusia mempunyai ciri kepimpinan.
Namun bukan semua juga harus memenuhi semua kualiti kepimpinan itu sendiri.
Ini kerana,bukan semua manusia itu serupa.
Bukan semua manusia mampu untuk mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang seharusnya mereka ada.
Akan tetapi,itu bukanlah juga bermakna seseorang itu tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin.

Benar kata orang,seseorang pemimpin itu sepatutnya ada sifat yakin,berani,bijak,punya tahap komunikasi yang tinggi.
Ini merupakan antara kualiti yang sepatutnya setiap pemimpin ada dan juga merupakan kayu pengukur bagi tahap kekualitian seseorang pemimpin itu.
Andai kata seseorang pemimpin itu tidak memiliki sifat-sifat ini,mana mungkin dia dapat memerintah dan mentadbir sesebuah institusi itu dengan jayanya.

Yakin merupakan kunci utama kepada kepimpinan yang baik.
Tahap keyakinan seseorang manusia itu daripada manusia lain adalah berbeza.
Namun begitu,seorang manusia yang ingin mengepalai sesebuah bahtera,wajiblah mempunyai tahap keyakinan yang jitu daripada manusia lain.
Dengan ini,barulah sesebuah bahtera itu dapat belayar dengan baik di atas permukaan laut walaupun dilanda badai ombak yang ganas.

Daripada elemen yakin itu barulah keberanian dapat dibentuk.
Seseorang nakhoda itu perlu yakin untuk membuat keputusan dan melawan segala rintangan yang timbul di atas permukaan laut itu agar anak-anak kapalnya dapat tiba ke destinasi dengan selamat.
Seseorang ketua itu harus lebih berani daripada orang bawahannya.
Jika berlaku sesuatu,ketua itu haruslah dulu tampil ke hadapan bagi menghadapi masalah itu.

Seorang nakhoda yang berkualiti,dia harus pandai dalam mengatur strategi.
Bagi melawan lanun-lanun dihadapan,nakhoda itu perlu pandai mengatur cara untuk memenangi perlawanan itu dengan mantap.
Semua anak kapal bergantung harapan dengan nakhoda mereka.
Tanpa kebijaksanaannya,mungkin agak sukar bagi mereka untuk memenangi pertaruhan mereka itu.

Masyarakat sering menyalahtafsirkan antara kepimpinan pengecut dan kepimpinan berdedikasi.
Kepimpinan yang hanya berteraskan semata-mata kepada kekuatan fizikal itu bukanlah satu bentuk kepimpinan yang baik.
Manusia yang punya tahap fizikal yang mantap tidak bererti dia merupakan seorang pemimpin yang berkaliber walaupun pada hakikatnya,sudah jelas tertampak bahawa dia mampu untuk melindungi rakyatnya.
Akan tetapi,jika kita lihat pada realitinya,seseorang pemimpin sebegini acap kali menggunakan kekuatan yang ada padanya untuk mendapat 'hak' politiknya.
Seseorang itu akan menggunakan apa cara sekalipun,asalkan kepuasannya dipenuhi,sebagai tamsilan melalui ugutan.

Mengapa pemimpin sebegini dilabel sebagai pengecut?
Hal ini demikian kerana,apabila dia menggunakan kuasa yang ada padanya untuk memenuhi kepuasan nafsu dengan cara menindas rakyat maka,dia digelar pengecut.
Dia ternyata telah mencabar orang yang sememangnya tidak mampu untuk menandinginya.
Analoginya cukup mudah,saya ibaratkan pemimpin itu dengan gajah manakala rakyatnya pula sebagai semut.
Gajah tersebut ternyata punya kekuatan fizikal yang mampu untuk membunuh mana-mana saja semut dengan senang hati.
Semut-semut itu pula tidak mampu untuk melawannya kerana saiz fizikalnya terlalu kecil.
Maka dengan itu,saya kira sememangnya wajar jika kita labelkan pemimpin sedemikian sebagai pengecut kerana mereke sesungguhnya telah menyalahgunakan kekuatan yang ada pada diri hanya untuk memenuhi nafsu serakah.

Namun begitu,saya tegaskan disini bukanlah semua pemimpin yang kuat fizikalnya berperwatakan sedemikian.
Cuma saya simpulkan daripada realiti kehidupan masyarakat dunia kini.

Pada pendapat saya,jika ingin memimpin gunalah pendekatan yang telah digariskan oleh Islam.
Gunalah kaedah yang telah diimplimentasikan oleh Rasulullah saw.
Sesungguhnya,cara yang diguna pakai oleh Nabi Muhammad itu merupakan cara yang terbaik.
Kita tidak semestinya harus untuk memperlihatkan kekuatan fizikal yang ada pada diri untuk mendapat kehormatan dan pengiktirafan.
Kadangkala pendekatan sedemikian mampu untuk memakan diri.
Kita tidak tahu apakah yang terperuk didalam minda masyarakat tatkala kita memimpin mereke sedemikian.
Mereka mungkin mengikut kata kerana mereka sememangnya menghormati kita ataupun kerana mereka takut ataupun kerana mereka terpaksa.

Sesungguhnya kekerasan bukanlah satu pendekatan yang baik.
Tidak keras tidak bermakna kita tidak tegas.
Jika kita dalami cara Rasulullah mentadbir negara...
kita dapat lihat bahawa baginda sentiasa menggunakan cara yang lembut namun begitu masih tegas.

“sesungguhnya aku telah menemukan sifat-sifat Rasulullah dalam kitab-kitab terdahulu, bahawa ia tidaklah kasar dalam perbuatannya dan keras hatinya dan tidaklah juga ia seorang yang berteriak dan membuat bising di dalam khalayak ramai, tidak membalas keburukan dengan keburukan bahka ia suka memeri kemaafan dan keampunan.”(Al-’Imran)

Dengan cara ini,nescaya bukan sahaja anak buah malah musuh juga akan terpikat dengan kepimpinan kita.
Hati mereka akan mudah terpaut dengan kepimpinan kita.
Oleh itu,mudahlah untuk kita memimpin mereka dan dalam masa yang masa,kita juga akan mudah untuk menyebarkan dakyah kepada mereka.
Kita dapat lihat sendiri bagaimana Rasulullah berjaya mengembangkan Islam pada era pemerintahannya.
Baginda tidak menggunakan cara kekerasan,kekejaman maupun paksaan namun begitu ramai sahaja yang memeluk Islam kerana mereka percaya dengan Rasulullah.

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Al-’Imran: 159)

Disini dapat disimpulkan bahawa cara pendekatan yang kita gunakan berkait rapat dengan kepimpinan kita.
Menjadi seorang pemimpin bukanlah satu perkara yang mudah namun juga bukanlah satu perkara yang mustahil.
Manusia itu sendiri telah dilahirkan dengan sifat-sifat kepimpinan.
Ini kerana,manusia sememangnya merupakan khalifah diatas muka bumi Allah ini.
Oleh itu,bermuhasabahlah diri.
Renung-renungkan dan berfikir sejenak,apakah cara kita mentadbir itu mendapat rahmat Allah dan bertepatan dengan garis panduan Islam?

No comments:

Post a Comment