Saturday, January 14, 2012

Ikhlaskah Aku Kepada Allah?

Assalamualaikum wrt.

Syukur alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah SWT,saya masih dipanjangkan umur dan masih mampu untuk mencoretkan beberapa kerat idea didalam blog kali ini.
Mungkin anda tertanya-tanya apakah yang cuba disampaikan oleh saya pada hari ini.

Saya terbaca sebuah artikel pendek yang dikarang oleh Prof.Madya Dr.Mohd Asri baru-baru ini.
Ketika khusyuk melayari setiap satu patah perkataan,hati saya tiba-tiba menimbulkan beberapa pertanyaan.
Apakah diriku ini dekat kepada Allah ?
Apakah selama ini saya ikhlas kepada Allah ?

Soalan ini mungkin kelihatan agak ringkas namun sukar untuk merungkaikannya.
Kadang kala,kita diajukan dengan persoalan,adakah kita ikhlas beribadah kepada Allah,adakah kita cukup beriman dengan Allah,adakah kita begitu menyayangi Allah?
Mulut mungkin mudah untuk meluncurkan jawapan 'ya'.
Namun begitu,cuba kita berfikir sejenak,apakah jawapan yang diberikan itu merupakan jawapan yang haq,dizahirkan ikhlas daripada hati?
Mari kita bermuhasabah seketika demi untuk membongkar jawapan kepada persoalan-persoalan itu.

Mungkin benar jawapan yang diberikan itu,
mungkin juga ia hanyalah jawapan sekadar untuk menyedapkan hati.
Seribu satu persoalan timbul sekaligus menjadikan diri ini terasa begitu kerdil sekali.

Kita sering melihat orang-orang lelaki yang memakai serban penuh di kepala,
kaum Hawa bertudung litup serta berpurdah lengkap menyembunyikan wajah.
Insan-insan yang menyampaikan hujah diperindahkan dengan hadis-hadis dan ayat-ayat al-Quran,
individu yang mengaku dirinya beriman dengan Allah walaupun diri penuh dengan kekhilafan.
Apakah mereka semua itu sudah hampir kepada Allah?
Apakah mereka ikhlas kepada Allah?
Apakah semua ciri-ciri diatas itu merupakan kayu pengukur kepada hampirnya seseorang hamba itu kepada Allah?

Kita sesugguhnya tidak layak untuk menilai manusia,sama ada mereka itu sudah hampir kepada Allah atau pun tidak.
Sesungguhnya keikhlasan itu merupakan rahsia antara seseorang hamba itu dengan Allah.
Kadang kala seseorang hamba itu juga tidak mampu untuk menilai dirinya sama ada keikhlasan itu sudah melekat dihatinya mahu pun tidak.
Jadi rahsia itu hanya Allah yang tahu.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulNya. Sesiapa yang hijrahnya mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Allah membalas setiap satu hambanya mengikut niat yang dipasang.
Mungkin mudah untuk kita mengaku bahawa segala ibadah kita dikerjakan hanya untuk Dia.
Hakikatnya,niat yang sebenar hanya kita dan Allah yang tahu.
Sekiranya niat yang dipasang itu tidak berlandaskan kepada Allah,sukar untuk kita melihat dengan jelas tujuan sesuatu itu dilakukan.
Maka dengan itu,sukar jugalah untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu.
Akhirnya,segala yang dikerjakan itu akan mati di tengah jalan.
Tiada apa yang akan diperoleh melainkan penat lelah yang tidak berkepentingan.
Para hamba Allah sekelian,ingatlah..
Tidak kira betapa hebatnya kita di mata orang,
tidak kira betapa alimnya kita dalam ilmu agama,
tidak kira lengkapnya kita menutup litup aurat di badan,
semuanya tidak berguna andai niat tidak diikhlskan kepada Allah.
Semuanya tidak akan membuahkan sebarang ganjaran melainkan dosa yang berkepul-kepul menambah berat neraca mizan.

Oleh itu,dekatkanlah diri dengan Allah dengan betulkan niat dan ikhlaskan segalanya hanya kepada Allah.
Dengan itu,kita akan tampak dengan lebih jelas akan tujuan sebenar sesuatu ibadah yang ingin dilakukan itu.
Kita akan berasa lebih hampir kepada Si Pencipta.
Kita tidak akan berasa kerugian malah lebih dilimpahkan dengan nikmat Allah yang tidak terkira.
Hidup duniawi dan ukhrawi juga akan lebih lancar selagi hidup kita berlandas kepada keikhlasan kepada Allah.


Firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan berinabahlah (kembalilah) kamu kepada Tuhan kamu, serta serahlah diri kepadaNya, sebelum datang kepada kamu azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”.


p/s : Penulisan ini bukanlah untuk mengharapkan kata-kata pujian malah bukanlah juga untuk mendabik dada diatas bumi Allah ini. Namun,sekadar untuk berkongsi sedikit pengetahuan yang ada agar dapat menperoleh keredhaan daripadaNya.