Sunday, February 20, 2011

Hanya Satu Ku Pinta

Setiap hari dalam hidupku kini,penuh dengan kemuraman dan kekusaman. Sukar untukku mencari kembali pelangi keceriaan. Berbagai cara ku guna semata-mata untuk membahagiakan hati ini. Namun,sering kali aku tersungkur di tengah jalan. Niat di hati bukan untuk membuka pekung di dada kerna diri ini hakikatnya bukanlah jenis sebegitu tetapi sekadar untuk meminta bimbingan.

Dalam perjalanan hijrahku,berbagai cara iblis dan syaitan gunakan untuk menggoda hati lemah ini. Puas aku menyedarkan diri sebelum dihanyutkan ke dalam kancah maksiat.
Perjuangan ku ini bukan untuk sesiapa tetapi untuk diriku dan Allah SWT.
Hati ini begitu kepingin untuk menjadi salah seorang ahli syurga Allah dan menjadi seorang insan yang cemerlang,gemilang di dunia dan akhirat. Inginku menyerahkan diri untuk memperjuangkan dan menegakkan agama Allah. Tiada apa yang lebih penting daripada Allah.

Jika semua orang bercita-cita untuk memperjuangkan nasib bangsa,namun aku sebaliknya. Agama Islam itu kuletakkan dihadapan. Sememangnya benar bahawa diharuskan membela dan mempertahankan bangsa namun jika dilihatkan kepada kedudukan Agama Islam kini yang bagai telur di hujung tanduk,yang bisa jatuh pada bila-bila masa..tak sanggup aku. Tak sanggup aku melihat agamaku sendiri jatuh.

Jatuh disini bukanlah seperti peristiwa jatuhnya Kerajaan Uthmaniyah,sebuah kerjaan Islam yang telah mencapai kegemilangannya namun,disebabkan beberapa faktor..jatuhnya kerajaan itu sehingga hari ini. Definisi jatuh didalam konteks perbincangan ini adalah jatuhnya kerohanian,keimanan masyarakat Islam pada hari ini akibat daripada perasaan hedonisme yang kian membuak-buak dalam jiwa. Sifat hedonisme itu saban hari meninggi sehinggakan iman mampu dikalahkan oleh nafsu.

Aku tidak mahu malah tidak ingin pun tergolong dalam jenis insan sebegitu. Aku tidak mahu lemas dalam lautan duniawi !! Seperti mahu nangis pabila tiba-tiba aku disedarkan daripada lamunan maksiat. Ya Allah,bersyukurnya aku ! Aku masih mampu diselamatkan. Tetapi,bagaimana aku ingin menghadapi hari-hari esok? Bagaimana sekiranya tanpa ku sedar,aku telah terjebak dalam perkara yang sememangnya tidak diredhai Allah !? Allah....
Aku tersangat menginginkan untuk menjadi seorang perempuan yang solehah kepada ibu bapa serta menjadi seorang yang muslimah.Tidak ku sangka,begitu banyak pengorbanan yang harus ku lakukan untuk menjayakan impian murni itu.Tetapi aku tidak kisah ! Semua itu bukanlah aku lakukan semata-mata untuk kelihatan baik dihadapan orang ataupun menggoda mana-mana lelaki. Aku sesungguhnya,tidak mahupun dilihat oleh mana-mana lelaki.Aku lakukan itu hanyalah untuk menjadi hamba Allah yang baik sepertimana yang dilakukan oleh Siti Fatimah,puterinya Rasulullah.

Aku berasa amat menyesal akan masa yang telah aku bazirkan selama ini. Masa yang begitu panjang,aku sia-siakan begitu sahaja. Sombongnya aku ! Namun kini,telahku berazam...aku tidak akan lagi membazirkan masaku sementara masih ada di atas muka bumi Allah ini. Aku akan cuba sedaya upayaku untuk berubah menjadi hamba yang lebih baik walaupun aku sering kali gagal. Tidak akan ku biarkan mata ini bergenang dengan air-air kekecewaan akan kegagalanku.

Hanya satu aku pinta,mohonlah beri bimbingan kepadaku.Bukan hanya bimbingan mengenai perkara-perkara berkaitan pelajaran,berilah bimbingan kepadaku untuk menuju ke jalan yang benar.Aku mendukung beberapa cita-cita iaitu untuk berjaya di dunia dan ahirat dan menjadi seorang pemimpin kepada adik-adik,kawan-kawan dan saudara Islam yang lain. Aku ingin membantu mereka sedaya upaya keringatku mampu.Mohonlah untuk memberi bantuan kepadaku.
Jasa anda teramatlah dihargai,

No comments:

Post a Comment